BLOG PENDIDIKAN ISLAM
SELAMAT DATANG
Wednesday, September 30, 2015
KISAH PEPERANGAN UHUD
KISAH RASULULLAH SAW SEMASA PERANG UHUD
Peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ketiga Hijrah iaitu setahun selepas peperangan Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun kedua hijrah,mengapa terjadinya perang Uhud ni?? sebenarnya,peperangan ini meletus akibat daripada perasaan marah dan benci para kafir musyrikin terhadap kejayaan tentera Islam ketika peperangan Badar al-Kubra yang lalu...
Mereka telah menghimpunkan bala tentera seramai 3000 orang untuk menyerang umat Islam. Rasulullah s.a.w telah menerima berita tentang kemaraan tentera kafir musyrikin itu melalui al-Abbas bin Abdul Muttalib(bapa saudara nabi). Baginda pun terus mengadakan satu mesyuarat dan telah memberitahu bahawa sebelum ini baginda telah bermimpi dengan suatu yang baik iaitu:-
-telah menyembelih seekor lembu yang bermaksud beberapa orang sahabat akan gugur syahid..
-mata pedang Rasulullah s.a.w berlubang bermaksud ahli keluarga baginda sendiri ada yang turut gugur syahid..
-Rasulullah s.a.w telah memasukkan tangan ke dalam baju rantai yang kukuh yang bermaksud bahawa Madinah akan terus dapat dipertahankan.
Kisah-kisah Sahabat di Uhud
Kemudian pada hari Jumaat Rasulullah s.a.w telah memberi semangat yang bersungguh-sungguh kepada setiap umat Islam sehingga ucapan itu menyemarakkan lagi semangat jihad dalam sanubari umat Islam.
Rasulullah s.a.w telah mengatur strategi yang terbaik di dalam menghadapi kemaraan musuh.
Kedua-dua tentera ini bertembung dan bertempur dalam satu pertempuran yang hebat dan pada permulaannya tentera Islam telah mencapai kemenangan walau pun Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib iaiatu bapa saudara nabi sendiri yang digelar Asadullah telah gugur syahid terkena panah yang dilontar oleh seorang hamba abdi yang bernama Wasyi bin Harb...
Begitu juga apa yang berlaku kepada Hanzalah bin Abu ‘Amir yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan di mana setelah mendengar panggilan jihad dia terus meninggalkan isteri yang baru dikahwini semata-mata menyahut seruan jihad tersebut...
Dia ditemui telah gugur syahid dan didapati mayatnya basah seperti dimandikan..
Apabila diberitahu Rasullullah s.a.w akan perkara ini lalu baginda memberitahu bahawa mayatnya telah dimandikan oleh para malaikat kerana turunnya dia ke medan jihad dalam keadaan berjunub...
Inilah dia erti pengorbanan dan perjuangan yang ditunjukkan oleh para sahabat dalam memastikan keagungan Islam terus dipertahankan sehingga mereka sanggup mengorbankan atau mengenepikan kepentingan peribadi demi Islam.
Kemenangan peringkat pertama yang dicapai itu hanya sementara sahaja akibat daripada kelalaian tentera pemanah yang meninggalkan tempat mereka apabila tidak tahan sabar melihat para tentera Islam yang lain memungut harta rampasan dan mereka terlalu yakin bahawa tentera Islam telah pun menang...
Sedangkan strategi yang diatur oleh Rasulullah s.a.w yang menempatkan tentera pemanah di atas bukit itu amat tepat dan telah berjaya mematah beberapa serangan daripada tentera musuh sebelum ini...
Akibat daripada tidak patuhnya mereka terhadap perintah Rasulullah s.a.w menyebabkan mereka ditimpa musibah secara segera di mana tentera musuh(yang diketuai Khalid Al-Walid) yang memang menunggu saat untuk menyerang balas kini telah menggunakan peluang yang terbuka ini dengan sebaiknya...
Serangan ini telah menyebabkan berlakunya kacau bilau dan Rasulullah s.a.w sendiri cedera,sehingga patah gigi baginda...
Tentera musyrikin turut menyampaikan berita palsu bahawa Rasulullah s.a.w telah mati dan ini menambahkan lagi kekalutan dalam tentera Islam...
Dalam suasana yang kucar kacir inilah , Ka’ab bin Malik telah terpandang diri Rasulullah sa.w lalu dia melaungkan bahawa Rasulullah s.a.w masih hidup...
Laungan ini menaikkan semula semangat tentera Islam. Selepas itu Rasulullah s.aw telah mengumpul 30 orang para sahabat dan menuju ke suatu teluk di bukit Uhud bagi mengatur tindakan yang baru dalam menghadapi musuh...
dalam keadaan kucar-kacir itu juga,para sahabat amat melindungi Rasulullah dari serangan tentera bukan Islam..
akibat serangan yang kuat dari tentera bukan Islam,baginda jatuh ke dalam lubang..
Nusaibah(pemberi minum kepada para muslimin) ikut menyekat kemaraan musuh dan banyak mengalami kecederaan di bahunya..
melihat hal itu,Abu Dujanah melompat ke dalam lubang untuk melindungi Rasulullah dengan belakangnya..
anak panah yang menghujani lubang Muhammad mengenai belakang Abu Dujanah..
kerana banyaknya anak panah yang melekat dibelakangnya,badannya dilihat seperti belakang landak..
Strategi baru diambil berjaya menghalang kemaraan musuh walau pun cuba dihalang oleh Abu Sufian dan Khalid ibnu Walid dan tentera musyrikin..
Setelah gagal menghancurkan kekuatan tentera Islam lalu tentera musyrikin beralih tumpuan mereka kepada mayat tentera Islam yang telah gugur syahid di mana mereka telah menyincang dan mengelar mayat itu dengan penuh perasaan marah dan benci termasuklah mayat Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib yang dibelah perutnya oleh Hindun binti’Utbah(isteri Abu Sufyan) untuk mengambil hatinya lalu dikunyah penuh dengan kebenciaan(kerana Hamzah telah menyebabkan kematian ayah,bapa saudara dan abang kandungnya dalam perang Badar), tetapi dia akhirnya tidak berjaya menelannya sebaliknya telah membuangnya semula daripada mulutnya...
tidak cukup dengan itu,dipotongnya juga telinga dan hidung Hamzah.
Antara kejadian yang menarik sepanjang peperangan Uhud ini ialah apabila seorang kafir yang bernama ‘Amru bin Thabit di mana sebelum ini telah diajak kepada Islam tetapi dia enggan. Tiba-tiba dalam peperangan ini dia telah dijumpai dalam keadaan nazak dan apabila ditanya tentang sebab dia turut berperang lalu dia menjawab bahawa dia telah beriman kepada Allah dan rasulNya. Apabila diberitahu kepada Rasulullah s.a.w tetang perkara in lalu bagnda menjawab : Dia masuk Syurga.
Satu lagi peristiwa iaitu yang berlaku kepada Qazman di mana dia berperang dipihak Islam dan berjaya membunuh tujuh atau lapan orang kafir...
Dia dijumpai dalam keadaan luka parah kemudian dibawa pulang kerumahnya. Dia memberitahu bahawa dia berperang kerana mempertahankan kaum bangsanya...
Oleh kerana dia tidak tertahan dengan kesakitan yang dihadapi lalu dia telah membunuh diri...
Apabila Rasulullah s.a. w diberitahu mengenai perkara ini lalu baginda bersabda : Dia masuk neraka.
antara kisah menarik juga adalah kisah Mukhairiq iaitu seorang ulama Yahudi..
pada hari perang,Allah mencampakkan iman ke dalam hati Mukhairiq..
hari itu dia masuk Islam,hari itu juga dia ikut berjihad dan hari itulah jua dia syahid dan mendapat syurga..
Muhammad berkata:"Barangsiapa yang ingin melihat ahli syurga yang tidak pernah sembahyang walaupun sekali,lihatlah kepada orang ini.."
Walau pun pada peringkat kedua dalam peperangan ini tentera Islam tidak berjaya malah seramai 70 orang telah gugur Syahid namun tentera musuh tidak berjaya mara untuk menawan Madinah dan membunuh Rasulullah s.a.w...
setelah berundurnya tentera bukan Islam,tamatlah jua peperangan..
pada masa itu,Rasulullah belum sedar Hamzah syahid sehingga apabila dia tiba ke tempat mayat Hamzah yang sebegitu rupa,baginda menangis teresak-esak..begitu jua para sahabat yang lain..
Rasulullah berkata yang bermaksud,"demi Allah,belum pernah aku lalui dalam hidupku sesedih suasana ini"..
Walaupun sedih dengan apa yang berlaku dalam peperangan Uhud ini tetapi Allah telah meniupkan semangat ke dalam sanubari umat Islam melalui ayat 104 surah an-Nisa’ : yang bermaksud:
"Jangan kamu merasa hina (hilang semangat) memburu musuh kerana jika kamu merasa sakit mereka juga merasa sakit seperti kamu merasainya sedangkan kamu pula berharap kepaad Allah apa yang mereka tidak harapkan"
menitis air mata mengenangkan indahnya syahid dijalan Allah...
lantas sepantas kilat semangat para syuhada' menerpa disanubari...
menebalkan lagi dan mengentalkan lagi jiwa ini...
setiap kali aku membayangkan bagaimana tubuhku hancur dibolosi peluru-peluru musuh, dikala itu juga menitis air mata kegembiraan...
ya...air mata kegembiraan...
gembira kerana aku dapat merasai indahnya syahid...
membayangkan bagaimana roh tersenyum melihat jasad yang terkulai layu dimedan syahid...
itulah detik-detik kemenangan seorang syuhada'...
biar syahid ataupun kemenangan..
itulah pengakhiran perjuangan ini...
KHALIFAH ABU BAKAR ASSIDIQ
Sayyidina Abu Bakar As Siddiq r.a adalah manusia paling agung dalam sejarah Islam sesudah Rasulullah SAW. Kemuliaan akhlaknya, kemurahan hatinya dalam mengorbankan harta benda dan kekayaannya untuk Islam, kebijaksanaannya dalam menyelesaikan masalah umat, ketenangannya dalam menghadapi kesukaran, kerendahan hatinya ketika berkuasa serta tutur bahasanya yang lembut lagi menarik adalah sukar dicari bandingannya baik dahulu mahupun sekarang.
Dialah tokoh sahabat terbilang yang paling akrab dan paling disayangi Rasulullah SAW. Nama sebenar Sayyidina Abu Bakar As Siddiq adalah Abdullah bin Qahafah. Sebelum Islam, beliau adalah seorang saudagar yang tersangat kaya dan dari keluarga bangsawan yang sangat dihormati oleh masyarakat Quraisy. Bahkan sebelum memeluk Islam lagi, Abu Bakar terkenal sebagai seorang pembesar Quraisy yang tinggi akhlaknya dan tidak pernah minum arak sebagaimana lazim dilakukan oleh pembesar-pembesar Quraisy yang lain.
Dari segi umur, Sayyidina Abu Bakar r.a adalah dua tahun lebih muda dari Rasulullah SAW dan telah menjalin persahabatan yang akrab dengan baginda Rasul lama sebelum Rasulullah SAW menjadi Rasul. Beliaulah tokoh sahabat besar yang paling banyak berkorban harta benda untuk menegakkan Islam di samping Nabi Muhammad SAW.
Besarnya pergorbanan beliau itu sehingga Rasulullah SAW pernah mengatakan bahawa Islam telah tegak di atas harta Siti Khadijah dan pergorbanan Sayyidina Abu Bakar r.a. Adapun gelaran As Siddiq yang dberikan kepadanya itu adalah kerana sikapnya yang selalu membenarkan apa sahaja kata-kata mahupun perbuatan Nabi Muhammad SAW.
Dalam hal ini elok kita petik suatu kisah seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud yang diceritakan sendiri oleh Sayyidina Abu Bakar, tentang bagaimana Sayyidina Abu Bakar r.a memeluk agama Islam.
Kata Sayyidina Abu Bakar r.a, “Aku pernah mengunjungi seorang tua di negeri Yaman. Dia rajin membaca kita-kitab dan mengajar ramai murid. Dia berkata kepadaku:
“Aku kira tuan datang dari Tanah Haram.”
“Benar,” jawabku.
“Aku kira tuan berbangsa Quraisy?”
“Benar,” ujarku lagi.
“Dan apa yang aku lihat, tuan dari keluarga Bani Tamim?”
“Benarlah begitu,” tambahku selanjutnya.
Orang tua it terus menyambung katanya, “ Ada satu hal yang hendak aku tanyakan dari tuan, iaitu tentang diri tuan sendiri. Apakah tak keberatan jika aku lihat perutmu?”
Maka pada ketika itu aku pun berkata,” Aku keberatan hendak memperlihatkan selagi tuan tidak nyatakan kepadaku perkara yang sebenarnya.”
Maka ujar orang tua itu, “Aku sebenarnya melihat dalam ilmuku yang benar bahawa seorang Nabi Allah akan diutus di Tanah Haram. Nabi itu akan dibantu oleh dua orang sahabatnya, yang seorang masih muda dan seorang lagi sudah separuh umur. Sahabatnya yang muda itu berani berjuang dalam segenap lapangan dan menjadi pelindungnya dalam sebarang kesusahan. Sementara yang separuh umur itu putih kulitnya dan berbadan kurus, ada tahi lalat di perutnya dan ada suatu tanda di paha kirinya. Apalah salahnya kalau tuan perlihatkan kepadaku.”
Maka sesudah dia berkata itu aku pun membuka pakaianku lalu orang tua itu pun melihatlah tahi lalat hitam di atas bahagian pusatku seraya berkata, “Demi Tuhan yang menguasai Kaabah, tuanlah orangnya itu!”
Kemudian orang tua itu pun memberi sedikit nasihat kepadaku. Aku tinggal di Yaman untuk beberapa waktu kerana mengurusi perniagaanku dan sebelum meninggalkan negeri itu, aku sekali lagi pegi menemui orang tua tersebut untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Kemudian dia lalu bertanya, “Bolehkah tuan menyampaikan beberapa rangkap syairku?”
“Boleh sahaja,” jawabku.
Setelah itu aku pun membawa pulang syair-syair itu ke Mekah. Setibanya aku di Mekah, para pemuda bergegas datang menemuiku seraya berkata, “Adakah engkau tahu apa yang sudah terjadi?”
Maka ujarku pula, “Apakah yang terjadi itu?”
Jawab mereka, “Si yatim Abu Talib kini mengaku menjadi Nabi! Kalaulah tidak mengingatkan engkau hai Abu Bakar, sudah lama kami selesaikan dia. Engkaulah satu-satunya yang kami harapkan untuk menyelesaikannya.”
Kemudian aku pun meminta mereka pulang dahulu sementara aku sendiri pergi menemui Muhammad. Setelah menemuinya aku pun mengatakan, “Wahai Muhammad, tuan telah mencemarkan kedudukan keluarga tuan dan aku mendapat tahu tuan terang-terang telah menyeleweng dari kepercayaan nenek moyang kita.”
Maka ujar baginda, “Bahawa aku adalah Pesuruh Allah yang diutuskan untukmu dan untuk seluruh umat!”
Aku pun bertanya baginda, “Apa buktinya?”
Jawab Baginda, “Orang tua yang engkau temui di Yaman tempoh hari.”
Aku menambah lagi, “Orang tua yang mana satukah yang tuan maksudkan kerana ramai orang tua yang aku temui di Yaman itu?”
Baginda menyambung, “Orang tua yang mengirimkan untaian syair kepada engkau!”
Aku terkejut mendengarkannya kerana hal itu tiada sesiapa pun yang mengetahuinya. Lalu aku bertanya, “Siapakah yang telah memberitahu tuan, wahai sahabatku?”
Maka ujar baginda, “Malaikat yang pernah menemui nabi-nabi sebelumku.”
Akhirnya aku berkata, “Hulurkan tangan tuan, bahawa dengan sesungguhnya aku naik saksi tiada Tuhan yang ku sembah melainkan Allah, dan tuan (Muhammad) sebenarnya pesuruh Allah”
Demikian kisah indah yang meriwayatkan bagaimana Islamnya Sayyidina Abu Bakar as Siddiq. Dan memanglah menurut riwayat beliau merupakan lelaki pertama yang beriman kepada Rasulullah SAW.
Keislaman Sayyidina Abu Bakar As Siddiq r.a telah membawa pengaruh besar di kalangan kaum bangsawan Quraisy kerana dari pengaruh keislamannya itulah maka beberapa orang pemuda bangsawan Quraisy seperti Sayyidina Usman bin Affan r.a, Sayyidina Abdul Rahman bin Auf r.a, Sayyidina Saad bin Waqqas r.a menuruti jejak langkahnya.
Semenjak memeluk Islam, Sayyidina Abu Bakar r.a telah menjadi pembela Islam yang paling utama serta seorang sahabat yang paling akrab serta paling dicintai Rasulullah SAW. Seorang sahabat, Sayyidina Amru bin Al As r.a pernah suatu hari menanyakan Rasul, “Siapakah di antara manusia yang paling tuan sayang!”
Baginda menjawab, “Siti Aisyah dan kalau laki-laki adalah bapanya.”
Selain itu, Sayyidina Abu Bakar as Siddiq r.a terkenal dengan keteguhan imannya, cerdas akal, tinggi akhlak, lemah lembut dan penyantun. Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Jika ditimbang iman Abu Bakar As Siddiq dengan iman sekalian umat maka berat lagi iman Abu Bakar.”
Demikian teguhnya iman Sayyidina Abu Bakar r.a. Gelaran As Siddiq yang diberikan terhadap dirinya itu lantaran sikap serta pendiriannya yang teguh dalam membenarkan serta membela diri Rasulullah SAW. Andainya sekalian umat manusia mendustakan Muhammad SAW, Abu Bakar r.a pasti akan tampil dengan penuh keyakinan untuk membelanya.
Setelah memeluk Islam, Sayyidina Abu Bakar menyerahkan seluruh kekayaan dan jiwa raganya untuk melakukan perjuangan menegakkan Islam bersama Nabi Muhammad SAW. Beliau telah mengorbankan seluruh harta bendanya untuk menebus orang-orang yang ditawan, orang-orang yang ditangkap atau diseksa. Beliau juga telah membeli hamba-hamba yang kemudian dimerdekakannya. Salah seorang daripadanya ialah Sayyidina Bilal bin Rabah r.a.
Tatkala Nabi Muhammad SAW selesai melakukan Israk dan Mikraj, segolongan orang yang kurang mempercayai apa yang telah dikhabarkan Rasulullah SAW telah pergi menemui Sayyidina Abu Bakar r.a untuk mendengarkan apa pendapatnya tentang dakwaan Muhammad SAW itu.
Sebaik mendengarnya, Sayyidina Abu Bakar terus berkata,” Adakah Muhammad berkata begitu?”
Sahut mereka, “Benar!”
Maka ujar Sayyidina Abu Bakar r.a, “Jika Muhammad berkata begitu maka sungguh benarlah apa yang diceritakan itu.”
Lalu mereka pun terus menyambung, “Engkau percaya hai Abu Bakar bahawa Muhamamad sampai ke tanah Syam yang jauhnya sebulan perjalanan, hanya dalam satu malam?”
Maka sahut Abu Bakar sungguh-sungguh, “Benar! Aku percaya! Malah lebih dari itu pun aku percaya kepadanya. Aku percaya akan berita dari langit yang diberitakannya, baik pada waktu siang mahupun di waktu malam!”
Demikian hebatnya keyakinan sahabat yang paling utama itu. Oleh kerana tegas dan teguhnya iman beliau terhadap agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan terhadap apa yang dikhabarkan oleh baginda maka beliau telah diberi gelaran As-Siddiq, ertinya yang membenarkan oleh Rasulullah SAW.
Tidaklah menghairankan sikap Abu Bakar itu. Beliau telah lama mengenali Muhammad SAW, bukan sehari dua. Beliau tahu bahawa sahabatnya itu sentiasa berkata benar, tidak pernah bohong hingga digelar orang Al Amin.
Tatkala kekejaman musyirikin Quraisy terhadap kaum muslimin yang sedikit jumlahnya di Mekah semakin hebat dan membahayakan, Nabi Muhammad SAW telah memberitahu Sayyidina Abu Bakar r.a supaya menemaninya dalam hijrah tersebut. Dengan perasaan gembira tanpa sedikit kebimbangan pun Sayyidina Abu Bakar r.a menyambut permintaan Rasulullah SAW.
Dari pintu belakang rumah Sayyidina Abu Bakar r.a, Rasulullah SAW bersama-sama Sayyidina Abu Bakar menuju ke Gua Tsur dan bersembunyi di situ. Pada saat suasana amat kritikal, Sayyidina Abu Bakar r.a diserang kegelisahan dan cemas kerana khuatir kalau-kalau musuh dapat mengetahui di mana Rasulullah SAW sedang bersembunyi, maka turunlah ayat suci Al Quran dari Surah At Taubah yang isinya memuji Sayyidina Abu bakar As Sidiq, sebagai ‘orang kedua’ sesudah Nabi Muhammad SAW dalam Gua Tsur. Dalam pada itu Rasulullah SAW pun mengerti akan situasi dan kegelisahan sahabatnya itu yang oleh kerananya Rasul SAW berkata, “Apakah yang mengelisahkanmu, bukankah Allah bersama kita?”
Kemudian Rasulullah SAW berkata, “Kiranya mereka masuk juga ke dalam gua ini, kita masih dapat melepaskan diri dari pintu belakang itu,” ujar Rasulullah SAW sambil menunjukkan ke belakang mereka.
SayyidinaAbu Bakar r.a pun menoleh ke belakang. Betapa terkejutnya beliau bila dilihatnya pintu belakang yang ditunjuk oleh Rasul itu, padahal pintu tersebut tadinya tidak ada sama sekali. Sebenarnya kebimbangan Abu Bakar r.a tatkala di dalam gua itu bukanlah kerana takutkan nyawanya diragut oleh pihak musuh tetapi yang lebih dibimbangkannya ialah keselamatan jiwa Baginda Rasul.
Beliau pernah berkata kepada Baginda Nabi saw,”Yang saya bimbangkan bukanlah diri saya sendiri. Kalau saya terbunuh, saya hanyalah seorang manusia biasa. Tapi andai kata tuan sendiri dapat dibunuhnya maka yang akan hancur ialah Islam.”
Ucapan antara dua orang sahabat tatkala dalam gua tersebut di dalam Al-Quran pada Surah At-Tawbah ayat 40:
“Kalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) ketika dia diusir oleh orang-orang kafir (dari kampung halamannya), dalam keadaan berdua orang sahaja di dalam suatu gua, di kala itu dia (Muhammad) berkata kepada sahabat karibnya (Abu Bakar) : Jangan engkau berdukacita, sesungguhnya Tuhan bersama kita. Tuhan menurunkan ketenangan kepadanya dan dikuatkannya dengan tentera yang tidak kamu lihat. Dan Tuhan menjadikan perkataan orang kafir itu paling rendah dan perkataan Tuhan itu yang amat tinggi. Dan Tuhan Maha Kuasa dan Bijaksana.”
Demikian satu lagi keistimewaan Sayyidina Abu Bakar As Siddiq sebagai seorang sahabat yang sama-sama mengalami kesukaran dan kepahitan bersama-sama Rasulullah SAW dalam menyampaikan seruan Islam. Sayyidina Abu Bakar r.a tidak bercerai jauh dengan Baginda Rasul sepanjang hidupnya dan menyertai semua peperangan yang dihadapi Baginda. Beliau bukan sahaja berjuang menegakkan agama Islam dengan segenap jiwa raganya bahkan juga dengan harta kekayaannya. Sungguh beliaulah yang paling banyak sekali berkorban harta untuk menegakkan agama Islam. Bahkan seluruh kekayaannya telah habis digunakannya untuk kepentingan perjuangan menegakkan kalimah Allah. Di kalangan para sahabat beliaulah tergolong orang yang paling murah hati dan dermawan sekali.
Dalam perang Tabuk misalnya, Rasulullah SAW telah meminta kepada sekalian kaum Muslimin agar mengorbankan harta pada jalan Allah. Tiba-tiba datanglah Sayyidina Abu Bakar r.a membawa seluruh harta bendanya lalu meletakkannya di hadapan baginda Rasul. Melihat banyaknya harta yang dibawa oleh Sayyidina Abu bakar r.a bagi tujuan jihad itu maka Rasulullah SAW menjadi terkejut lalu berkata padanya:
“Wahai Abu Bakar, kalau sudah semua harta bendamu kau korbankan, apa lagi yang akan engkau tinggalkan buat anak-anak dan isterimu?”
Sayyidina Abu Bakar As Siddiq r.a dengan tenang menjawab, “Saya tinggalkan buat mereka Allah dan Rasul-Nya.”
Demikianlah kehebatan jiwa Sayyidina Abu Bakar As Siddiq r.a, suatu contoh kemurahan hati yang memang tidak dijumpai bandingannya di dunia. Memandangkan besarnya pengorbanan beliau terhadap Islam maka wajarlah kalau Rasulullah bersabda bahawa tegaknya agama Islam itu lantaran harta benda Siti Khadijah dan juga Sayyidina Abu Bakar as Siddiq. Tepatlah juga kiranya iman Sayyidina Abu Bakar r.a ditimbang dan dibandingkn dengan iman seluruh umat manusia maka berat lagi iman Sayyidina Abu Bakar r.a. Beliau memang manusia luar biasa. Kebesarannya telah ditakdirkan oleh ALLAH SWT untuk menjadi teman akrab Rasulullah SAW.
Pada suatu ketika di saat Rasulullah SAW membaca khutbah yang antara lain menyatakan bahawa: “…kepada seseorang hamba Allah yang apabila ditawarkan untuk memilih dunia atau memilih ganjaran yang tersedia di sisi Allah, dan hamba Allah tersebut tidak akan memilih dunia, melainkan memilih apa yang tersedia di sisi Tuhan…”
Maka ketika mendengar khutbah Nabi demikian itu, Sayyidina Abu Bakar r.a lalu menangis tersedu-sedu, kerana sedih dan terharu sebab beliau mendengar dan mengerti bahawa yang dimaksudkan dalam isi khutbah tersebut ialah bahawa umur kehidupan Rasul di dunia ini sudah hampir berakhir. Demikian kelebihan Sayyidina Abu Bakar r.a dibanding dengan para sahabat yang lain kerana beliaulah yang mengetahui bahawa umur Rasul hampir dekat.
Keunggulan beliau dapat dilihat dengan jelas selepas wafatnya Rasulullah SAW di kala umat Islam hampir-hampir menjadi panik serta tidak percaya kepada kewafatannya. Ketika itu Sayyidina Abu Bakar sedang berada di Kampung As Sunnah. Tatkala berita kewafatan Rasulullah SAW itu sampai kepadanya, beliau dengan segera menuju ke Madinah. Tanpa lengah-lengah lagi Sayyidina Abu Bakar terus ke rumah puterinya Siti Aisyah dan disanalah beliau dapati tubuh Rasulullah SAW terbujur di satu sudut di rumah. Beliau lantas membuka wajah Rasulullah SAW dan mengucup dahinya, sambil berkata,”Wahai, betapa cantiknya engkau ketika hidup dan betapa cantiknya ketika engkau ketika mati!”
Kemudian beliau pun keluar mendapatkan orang ramai yang sedang dalam panik itu lalu berkata dengan nada keras:
“Wahai kaum muslimin! Barang siapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad telah mati. Tetapi barang siapa menyembah Allah maka Allah selama-lamanya hidup tidak mati!”
Seraya menaymbung membacakan sepotong ayat dari Al-Quran:
“Muhammad itu tidak lebih dari seorang Rasul seperti rasul-rasul yang terdahulu darinya. Jika ia mati atau terbunuh, patutkah kamu berundur ke belakang, dia tidak akan membahayai Allah sedikit pun dan sesungguhnya Allah akan memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur.”
Sejurus sahaja mendengar ayat itu, kaum muslimin pun mendapat kepastian bahawa Rasulullah sudah wafat. Mereka tentunya telah pernah dengar ayat itu telah turun semasa peperangan Uhud, ketika Rasulullah SAW telah diberitakan mati terkorban dan menyebabkan ramai pejuang-pejuang Islam berundur ke Madinah. Tetapi mereka tidaklah memahami maksud ayat ini seperti yang difahami oleh Sayyidina Abu Bakar r.a . Ini jelas membuktikan kecerdasan Sayyidina Abu Bakar As Siddiq dalam memahami Islam.
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Sayyidina Abu Bakar r.a telah menjadi khalifah umat Islam yang pertama. Beliau telah memberikan ucapannya yang terkenal iaitu:
“Wahai sekalian umat! Aku telah dipilih menjadi pemimpin kamu padahal aku ini bukanlah orang yang terbaik di antara kamu. Sebab itu jika pemerintahanku baik, maka sokonglah, tetapi jika tidak baik, maka perbaikilah. Orang yang lemah di antara kamu adalah kuat di sisiku hingga aku harus mengambil hak orang lain yang berada disisinya, untuk dikembalikan kepada yang berhak semula. Patuhilah kepadaku selama aku patuh kepada Allah dan Rasul-Nya. Akan tetapi jika aku menderhakai Allah, maka kamu sekalian tidak harus lagi patuh kepadaku.
“Aku dipilih untuk memimpin urusan ini padahal aku enggan menerimanya. Demi Allah aku ingin benar kalau ada di antaramu orang yang cekap untuk urusan ini. Ketahuilah jika kamu meminta kepadaku agar aku berbuat sebagai yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW sungguh aku tidak dapat memperkenankannya, Rasulullah SAW adalah seorang hamba Allah yang dapat kurnia wahyu dari Tuhan, kerana itu baginda terpelihara dari kesalahan-kesalahan, sedang aku ini hanyalah manusia biasa yang tidak ada kelebihannya dari seorang pun juga di antara kamu.”
Ini adalah satu pembaharuan dalam pemerintahan yang belum pernah dikenali oleh orang rakyat jelata kerajaan Rom dan Parsi yang memerintah dunia Barat dan Timur ketika itu. Sayyidina Abu Bakar hidup seperti rakyat biasa dan sangat tidak suka didewa-dewakan,
“Ya Khalifah Allah!”
Beliau dengan segera memintas cakap orang itu dengan katanya:
“Saya bukan Khalifah Allah, saya hanya Khalifah Rasul-Nya!”
Adalah diriwayatkan bahawa pada keesokan harinya iaitu sehari setelah terpilih sebagai Khalifah, Sayyidina Abu Bakar r.a kelihatan membawa barang perniagaanya ke pasar. Beberapa orang yang melihat itu lalu mendekati beliau, di antaranya Sayyidina Abu Ubaidah bin Jarrah. Sahabat besar itu berkata, “Urusan Khalifah itu tidak boleh dicampuri dengan berniaga!”
Lalu Abu Bakar r.a bertanya, “Jadi dengan apakah aku hidup, dan bagaimana aku membelanjai rumah tanggaku?”
Demikian sedihnya nasib yang menimpa Sayyidina Abu Bakar r.a sebab walaupun kedudukannya sebagai Ketua Negara namun belum ada lagi ketetapan bagi seseorang ketua pemerintah Islam memperolehi peruntukan dari harta kerajaan. Keadaan ini mendapat perhatian dari para sahabat lalu mereka menentukan bantuan secukupnya buat Khalifah dan keluarganya yang diambil dari Baitul Mal. Kemudian itu baharulah Khalifah Abu Bakar meninggalkan usaha perniagaannya kerana hendak memusatkan seluruh tenaganya untuk mengembangkan agama Islam dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Khalifah.
Semasa bertugas sebagai Khalifah, beliau menerima peruntukan sebanyak enam ribu dirham sahaja setahun. Peruntukan itu tidak dibelanjakannya untuk keperluan dirinya malahan di penghujung umurnya beliau telah memerintahkan supaya pendapatannya itu diserahkan kembali kepada Baitul Mal.
Sebelum wafat, Sayyidina Abu Bakar r.a telah memanggil Sayyidina Umar r.a lalu berkata, “Dengarlah hai Umar! Apa yang akan kukatakan ini, laksanakanlah. Aku mengharap akan kembali ke hadrat Allah hari ini sebab itu sebelum matahari terbit pada esok hari engkau hendaknya telah mengirim bala bantuan kepada Al Munthanna. Janganlah hendaknya sesuatu bencana bagaimana pun besarnya dapat melupakan kamu dan urusan agama dan wasiat Tuhan. Engkau telah melihat apa yang telah kulakukan tatkala Rasulullah SAW wafat sedangkan wafatnya Rasulullah itu adalah satu bencana yang belum pernah manusia ditimpa bencana yang sebesar itu. Demi Allah, andaikata di waktu itu aku melalaikan perintah Allah dan RasulNya, tentu kita telah jatuh dan mendapat seksaan Allah, dan pasti pula kota Madinah ini telah menjadi lautan api.”
Sayyidina Abu Bakar As Siddiq menjadi khalifah dalam masa dua tahun sahaja. Walaubagaimanapun beliau telah meletakkan asas pembangunan sebuah pemerintahan Islam yang teguh dan kuat. Beliau juga berjaya mengatasi berbagai masalah dalam negeri dengan segala kebijaksanaan dan kewibawaannya. Dalam masa dua tahun pemerintahannya itu telah terbentuk rantai sejarah Islam yang merupakan lembara-lembaran yang abadi.
Sungguh kehidupan Sayyidina Abu Bakar As Siddiq adalah penuh dengan nasihat, penuh dengan ajaran serta kenangan-kenangan yang indah mulia. Selama dua tahun pemerintahannya itu beliau telah berjaya menyusun tiang-tiang pokok dan kekuatan Islam. Beliau telah membangunkan kekuatan-kekuatan yang penting bagi memelihara kepercayaan kaum muslimin dan bagi memelihara keagungan agama Islam. Bahkan beliau telah mengakhiri riwayat pemerintahan yang dipimpinnya dengan menundukkan sebahagian daripada negeri Syam dan sebahagian daripada negeri Iraq, lalu pulang ke rahmatullah dengan dada yang lapang, ketika umur baginda menginjak 63 tahun. Baginda dikebumikan di samping makam Rasulullah SAW di Masjid Nabi, Madinah.
Semoga riwayat serta perjuangan beliau dan para sahabat, dapat kita contohi terutama di dalam menyokong setiap langkah Abuya bagi membuktikkan kata-kata Rasulullah SAW bahawa Islam akan menapaki kegemilangannya untuk kali kedua di sebelah Timur oleh Al Mahdi bersama-sama pemegang panji-panjinya iaitu Putera Bani Tamim.
Subscribe to:
Posts (Atom)